Beberapa Halangan:
1) Kemungkinan suasana masyarakat dan keadaan setempat menyebabkan seseorang keberatan melaksanakan beberapa perintah Allah Subhanahu wa ta‘ala dan tuntuan agama, ia mestilah memahami bahawa dalam setiap perkara memerlukan kesabaran. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ
Maksudnya: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Al-Baqarah, 2)
Bersabar untuk melakukan ketaatan adalah suatu kemestian. Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
Maksudnya: “Akan tiba suatu zaman, manusia pada ketika itu perlu bersabar melakukan ketaatan seperti mengenggam bara api.”
Ganjaran besar bagi orang bersusah payah dan bersabar untuk melakukan suatu amalan dibayangkan di dalam hadith Nabi Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasir:
الْعِبَادَةُ فِي الْهَرْجِ كَهِجْرَةٍ إِلَيَّ
Maksudnya: “Beribadat dalam kepayahan adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Musnad Imam Ahmad).
Tidak sepatutnya seseorang terikut-ikut dengan orang lain untuk melakukan sesuatu, sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:
لاَ تَكُونُوا إِمَّعَةً ، تَقُولُونَ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا ، وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا ، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا ، وَإِنْ أَسَاؤُوا فَلاَ تَظْلِمُوا
Maksudnya: “Janganlah seseorang menjadi imma‘ah (terikut-ikut). Iaitu ia mengatakan: “Jika orang lain baik, kami juga melakukan kebaikan; jika mereka zalim, kami juga melakukan zalim. Tetapi tetapkanlah pada diri kamu, jika orang melakukan kebaikan, kamu juga turut melakukan kebaikan; jika mereka melakukan kejahatan, janganlah kamu zalim.” (Hadith dikemukakan oleh al-Tirmizi. Beliau menilainya Hasan Gharib).
2) Sesetengah orang pula tidak ingin melaksanakannya semata-mata kerana menganggap diri bukan dari golongan yang baik atau mulia. Ia sebenarnya helah syaitan supaya ia bertangguh. Ini kerana tiada manusia yang sempurna dengan kebaikan. Jadi sampai bilakah ia ingin bertangguh dengan alasan demikian?! Amalan buruk seseorang hanya dapat ditampung dengan amalan baik. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.” (Hud, 114).
Di dalam sebuah hadith: kata Abu Zar: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:
اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا ، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah di mana sekali kamu berada. Susulilah perbuatan jahat dengan perbuatan baik. Pasti ia dapat menghapuskan kejahatan. Dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.” (Dikemukakan oleh Imam Ahmad).
3) Antara contoh dakwaan yang sering disebut-sebut ialah: “Tidak perlu pakai tudung, jika tidak sembahyang.” Ini bukanlah bererti orang yang tidak sembahyang, ia tidak mendapat dosa jika tidak memakai tudung. Sebenarnya, tiada kaitan antara dua perkara tersebut. Memakai tudung adalah seperkara dan sembahyang seperkara lain. Seseorang itu sudah berdosa dengan meninggalkan sembahyang. Jadi jika ia menambah kejahatan tidak sembahyang dengan satu lagi kejahatan tidak mahu memakai tudung, maka bertambahlah lagi dosanya.
4) Seseorang yang mendapati dirinya tidak istiqomah (consistent) dengan suatu amalan tidak sepatutnya ia langsung meninggalkan perbuatan itu. Allah Subhanahu wa ta‘ala telah berfirman:
فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (istiqomah), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu).” (Fussilat, 6).
Ayat ini mengisyaratkan semestinya berlaku kecuaian dalam istiqamah. Tetapi ia ditampung dengan istighfar. Tiada orang yang mampu benar-benar istiqomah tetapi hendaklah melakukan perkara yang betul dan menepati atau hampir dengan tujuan.
Taubat yang dilakukan selepas ia dibatalkan dengan mengulangi dosa adalah sah. Ini kerana taubat yang pertama adalah suatu ketaatan. Ia telahpun dilakukan dan sah. Apabila dilakukan dosa kali kedua, ia perlu memulakan taubat yang lain. Perbuatan mengulangi dosa, lebih buruk daripada memulakannya kerana ia menambah pembatalan taubat dengan perlakuan dosa. Begitupun, mengulangi taubat adalah lebih baik daripada memulakannya. Ini kerana ia menambah kesungguhan mendampingi Allah yang Maha Mulia.
5) Tidak ikhlas dalam suatu amalan bukanlah suatu alasan membolehkan seseorang meninggalkan amalan yang mesti dilakukan. Contohnya seseorang yang wajib sembahyang tidak boleh meninggalkannya kerana merasakan hati tidak ikhlas. Begitulah juga dalam setiap amalan agama. Tidak sepatutnya seseorang tidak mahu menutup aurat semata kerana merasa tidak ikhlas seperti riya atau ujub. Malah ia mestilah tetap melakukannya disamping berusaha mengubah niatnya supaya ikhlas. Kata Fudhail bin `Iyadh: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riyak dan melakukan amalan kerana manusia adalah syirik."
6) Melakukan sesuatu amal ibadat kerana disuruh oleh seseorang tidaklah bererti seseorang itu tidak ikhlas. Ini kerana Allah Subhanahu wa ta‘ala menyuruh supaya taat kepadaNya, kepada Rasul dan juga kepada orang yang menyuruh melakukan kebaikan. Jadi seseorang yang melakukan amal ibadat selepas disuruh oleh seseorang, ertinya ia taat kepada Allah dan Rasul. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (Al-Nisa': 59)
Seseorang mestilah patuh dan taat dalam melakukan amal dan ibadat meskipun perkara yang tidak disukainya. Ubadah bin Shamit berkata:
بَايَعْنَا رَسُولَ اللهِ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي الْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ اْلأَمْرَ أَهْلَهُ وَأَنْ نَقُومَ أَوْ نَقُولَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لاَ نَخَافُ فِي اللهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ
Maksudnya: "Kami telah membaiah (akad setia) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk senantiasa mendengar dan mentaatinya, baik dalam keadaan yang kami senangi maupun yang tidak kami senangi dan agar kami tidak akan merebut kekuasaan dari orang yang berhak dan agar kami senantiasa mengerjakan atau mengatakan yang haq di mana saja kami berada tidak takut karena Allah kepada celaan orang-orang yang suka mencela." (Riwayat Al-Bukhari)
Hasan Nazam
http://jailurrashied.blogspot.com/
Saturday, August 2, 2008
Beberapa Halangan Beramal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment