Waktu Tanah Suci paling tepat kerana terletak di pusat bumi
MAKKAH: Saintis dan ulama Islam mendesak waktu Makkah diguna pakai untuk menggantikan waktu antarabangsa 'Greenwich Meridian Time' atau dipanggil GMT kerana bandar raya suci umat Islam berkenaan terletak di lokasi sebenar pusat bumi.
Umat Islam akan menghadap kiblat di Makkah setiap kali menunaikan solat.
Seorang pakar geologi juga berkata, tidak seperti garis bujur lain, Makkah berada dalam kedudukan jajaran sempurna kepada medan magnet hemisfera utara.
Pakar itu berkata, orang Inggeris melaksanakan penggunaan GMT ke seluruh dunia secara paksa ketika Britain menjadi kuasa penjajahan. Oleh itu, katanya, sudah tiba masa perkara itu diubah.
Sarjana Islam terkemuka, Dr Sheikh Yusuf al-Qaradawi, yang turut menyertai persidangan berkenaan menekankan, sains moden akhirnya membuktikan Makkah adalah pusat Bumi.
"Bukti Makkah adalah pusat bumi sebenar adalah kiblat – perkataan Arab bermaksud arah umat Islam apabila menunaikan solat," katanya.
Persidangan itu turut menilai semula apa yang digambarkan sebagai jam Makkah – Saat Makkah – ciptaan seorang penduduk Islam Perancis, Yasin a-Shouk.
Jam itu dikatakan berputar arah lawan pusingan jam dan sepatutnya membantu umat Islam menentukan arah Makkah dari mana-mana tempat di bumi.
Persidangan di Qatar adalah sebahagian aliran popular di kalangan masyarakat Islam yang mahu mengumpul bukti bahawa sains moden menggunakan asas bukti daripada al-Quran.
Amalan itu digelar 'Ijaz al-Quran', yang secara kasar diterjemahkan sebagai 'mukjizat al-Quran.'
Kepercayaan yang digariskan ialah kebenaran saintifik juga didedahkan dalam al-Quran, dan sudah menjadi tugas sarjana Islam untuk mendalaminya dan memperkenalkan buktinya.
Isteri Yasin yang menjadi penyelia sidang, berkata: "Negara Barat memaksa kita menggunakan garis Greenwich yang tidak dapat dilihat sebagai rujukan masa dunia."
Beliau berharap, negara Islam dapat menyertai projek menggunakan waktu Makkah bagi memperkuat keyakinan bahawa Tanah Suci itu adalah pusat bumi, bukan secara teori tetapi praktikal.
Seorang cendekiawan Islam, Zaghloul al-Najjar, berkata negara Barat tidak suka melihat bukti saintifik menunjukkan Makkah berada di pusat bumi tetapi beliau dan tokoh Muslim lain akan meneruskan usaha supaya masyarakat antarabangsa menerima kebenaran itu.
Dipetik dari: http://tech.groups.yahoo.com/group/falak-net/message/4629
No comments:
Post a Comment